Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin digantung sehari daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Speaker Datuk Law Choo Kiang, ketika menerima usul tergempar dibentangkan Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih), berkata penggantungan itu berkuat kuasa pada hari pertama persidangan DUN Pulau Pinang pada penggal akan datang.
"Disebabkan Yang Berhormat Pinang Tunggal (Roslan) enggan memohon maaf, maka beliau akan digantung daripada hadir sidang DUN berkuat kuasa pada hari pertama persidangan dewan yang akan datang," katanya selepas usul itu dipersetujui pada persidangan DUN di Georgetown, hari ini.
Ketika membentangkan usul tergempar itu, Lim berkata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan Law sebulat suara beretuju bahawa Roslan, ketika sesi perbahasan pada 3 Julai 2013, tidak mematuhi peraturan kerana telah menggunakan perkataan yang menyakitkan hati dan menyentuh peribadi seseorang.
Beliau berkata jawatankuasa itu, yang bermesyuarat sebanyak lima kali, memutuskan bahawa Roslan tidak menyebut perkataan 'rasis' dan tidak mempunyai niat jahat untuk mewujudkan perasaan bermusuh antara kaum.
Namun, jawatankuasa itu memutuskan bahawa beliau hendaklah memohon maaf dalam persidangan DUN dengan ayat 'jikalau pernyataan saya telah menyinggung profesion dan etika perubatan, saya memohon maaf'.
"Sekiranya yang berhormat (Roslan) enggan memohon maaf, beliau hendaklah digantung daripada menghadiri persidangan DUN selama sehari," kata Lim.
Sementara itu, Roslan dalam kenyataan bela dirinya, menegaskan dirinya tidak bersalah.
Sekiranya permohonan maaf itu dibuat, katanya, ia menunjukkan dirinya bersalah dan kenyataannya sudah pasti akan diputar belitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"...saya ada keputusan saya sendiri, sudah tentulah saya tidak mahu mohon maaf dan saya sudi dan rela untuk digantung sehari daripada hadir ke persidangan DUN.
"Saya mohon maaf pada semua, bukan pada bab ini (penggantungan) tetapi ucapan hari ini," katanya.
Persidangan DUN pada 11 Dis 2013 telah merujuk Roslan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas didakwa mengeluarkan perkataan 'rasis' dalam ucapannya semasa persidangan DUN Julai 2013.
Pada persidangan itu, Roslan dalam ucapannya mendakwa tiga doktor iaitu dua di Hospital Seberang Jaya dan seorang di Hospital Kepala Batas telah bersikap rasis kerana enggan memberi rawatan kepada pesakit yang berbeza bangsa dengan mereka.
YB Dato’ Haji Roslan Bin Saidin dilahirkan pada hari tahun baru 1964 di Kepala Batas, Pulau Pinang. Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal ini telah menang selama tiga penggal bagu kerusi DUN tersebut bermula pada tahun 2004 mengalah calon PAS, Mohd Salleh Man dengan majoriti 6288 undi. Datuk Roslan Saidin memperolihi 8941 manakala Mohd Salleh Man memperolohi 2653.
Dalam pilihanraya berikutnya pada tahun 2008 Datuk Roslan berjaya mempertahan kerusi DUN itu dengan majoriti 3235 undi. Datuk Roslan berjaya mengalahkan calon PKR Mahamad Hashim dengan majoriti tersebut, Datuk Roslan memperolihi 7848 sementara Mahamad Hashim pula hanya memperolihi 4613.
Manakala dalam pilihanraya lepas (2013) Datuk Roslan memperolihi 9,155 undi mengalahkan calon PKR Ahmad Zakinyuddin yang memperolihi 7568. Datuk Roslan hanya menang dengan majoriti 1587 undi.
Berdasarkan statistik itu kedudukan Datuk Roslan semakin goyah kerana majoritinya sentiasa berkurangan setiap kali pilihanraya. Sekiranyanya Datuk Roslan dicalonkan untuk penggal yang keempat dan beliau tidak melakukan sesuatu mulai sekarang tidak mustahil beliau akan kalah.
No comments:
Post a Comment