Kepala Batas : Generasi muda
di negara kita khususnya di
Kepala Batas mungkin tidak mengetahui yang tarikh kemerdekaan Negara dipilih
oleh orang Kepala Batas. Beliau adalah Sheikh Abdullah Fahim , Tok Wan kepada
Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Beliau dilahirkan di Kpg. Bukit Lada, Kubur Panjang, Pendan, Kedah pada tahun
1870.
Sheikh Abdullah Fahim adalah anak kedua daripada empat orang
adik-beradik. Bapanya Sheikh Ibrahim bin Haji Tahir dan bermastautin di Makkah
dan menjadi guru agama di Masjidil Haram dalam bidang pengajian al-Quran.
Semasa hayatnya, Sheikh Ibrahim Tahir juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga
Pengelola Masjidil Haram selama 7 tahun. Kedua beranak ini dikenali oleh
masyarakat Makkah sebagai keturunan Jawa dan Petani.

Semasa tinggal di Makkah, Abdullah Fahim mendirikan rumah
tangga dengan Hajjah Habsah Haji Abdullah. Mereka dikurniakan dua orang anak
lelaki iaitu Ghazali dan Ahmad Badawi. Ghazali dan ibunya, Wan Habsah meninggal
dunia di Makkah.
Dalam bidang agama, Abdullah Fahim mengajar ilmu usuluddin,
falak, tafsir Al-Quran dan Hadis di Masjidil Haram. Pelajarnya terdiri daripada
pelbagai bangsa termasuk yang berasal dari Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Jawa,
Pattani, Filipina, India dan China. Disebabkan kemasyhurannya, apabila pulang
Tanah Melayu pada tahun 1921, Abdullah Fahim sering di undang memberi ceramah
atau pendapat pada seminar dan forum
mengenai Islam. Ketinggian ilmu yang beliau miliki turut diakui oleh ulama
terkenal Indonesia, Profesor Dr. Hamka.
Sekembalinya beliau ke Tanah Melayu pada tahun 1921,
Abdullah Fahim tinggal di Kampung Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah dan menjadi
guru di Maahad Mahmud yang ketika itu menggunakan sistem pendidikan secara
pondok. Pada peringkat awal kepulangan beliau ke tanah air, beliau terpaksa
menggilap semula kemahirannya berbahasa Melayu kerana sudah sekian lama tidak
mengamalkan bahasa itu.
Selepas menetap di Kedah selama beberapa tahun pada tahun
1925, beliau berpindah ke Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang. Semasa
mula-mula tinggal di Kepala Batas beliau mengajar agama di anjung rumahnya dan
di Masjid Kepala Batas. Apabila jumlah muridnya semakin bertambah, ulama yang
merupakan Mufti pertama Pulau Pinang ini mengasaskan penubuhan Madrasah
Daeratul Maarif Al-Wataniah di Kepala Batas yang tenaga pengajarnya termasuklah
anak beliau sendiri, Ahmad Badawi.
Dalam kehidupan hariannya, Sheikh Abdullah Fahim adalah
seorang yang mudah bergaul dan amat disayangi oleh penduduk setempat yang
terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pernah dikatakan bahawa
pekedai-pekedai di sekitar Pulau Pinang biasanya amat bertuah sekiranya Sheikh
Abdullah Fahim masuk ke kedai mereka tetapi akan merasa bimbang sekiranya
barang di kedai mereka itu dikatakannya mahal, maka alamatnya jualan pekedai
itu pada hari itu akan merosot. Begitu pula sebaliknya pekedai selalu berharap
Sheikh Abdullah Fahim akan masuk ke kedai mereka kerana kehadirannya menjadi
petanda bahawa jualan mereka pada hari itu akan laris.
Itulah antara keistimewaan yang dimiliki oleh Sheikh
Abdullah Fahim yang merupakan seorang wali yang amat dihormati oleh penduduk
Pulau Pinang terutamanya Seberang Prai dan Kepala Batas.
Nama Sheikh Abdullah Fahim juga berkait rapat dengan
kemerdekaan Tanah Melayu kerana beliaulah tokoh yang diberi kepercayaan untuk
memilih tarikh yang dirasakan serasi untuk dikemukakan kepada pihak Inggeris.
Dipendekkan cerita (rujuk sejarah kemerdekaan Negara), atas
nasihat Abdullah Fahim dan kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman, akhirnya seperti
yang terakam dalam sejarah tanah air, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1997. Tarikh keramat ini sebenarnya bukan dipilih dengan sesuka hati oleh
Abdullah Fahim tetapi melalui ilmu firasat yang beliau miliki. Tarikh inilah
yang kini dirayakan setiap tahun oleh seluruh rakyat Malaysia yang menghargai
erti kemerdekaan.
Akhirnya sampailah sudah kesudahan riwayat hidup seorang
ulama dan tokoh kemerdekaan yang terkenal dan tiada tandingannya. Sheikh
Abdullah Fahim menghembuskan nafas terakhir pada 28 April 1961 pada pukul 8
pagi di rumahnya di Kepala Batas. Ketika itu, usia beliau sudah 92 tahun.
Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Kepala
Batas, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment